DAVINA TEGASKAN SOKONGAN KEPADA REDONAH KEKAL UTUH

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA KINABALU,20 OGOS – Exco Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Dr Davina Markus, menegaskan sokongannya terhadap Datuk Redonah Bahanda untuk terus menerajui sayap itu sebagai Ketua Wanita PGRS kekal utuh dan tidak berbelah bahagi.

Beliau berkata, penjelasan itu dibuat selepas meneliti situasi yang berlaku semalam yang pada asalnya berpunca daripada isu yang tidak mempunyai kaitan dengannya, namun namanya didakwa digunakan pihak tertentu sehingga dilihat seolah-olah cubaan menggugat kesatuan Wanita PGRS.

Katanya, beliau tidak pernah terfikir untuk merebut jawatan Ketua Wanita PGRS, apatah lagi mencalonkan diri sendiri, selain tidak mempunyai masa untuk merancang perkara sedemikian.

“Sokongan saya terhadap Redonah kekal utuh, baik secara terang-terangan mahupun di belakang tabir. Pendirian saya kekal bersama beliau untuk terus menerajui kepimpinan sebagai Ketua Wanita PGRS,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Davina berkata, beliau difahamkan ada pihak tertentu yang mengusulkan namanya tanpa pengetahuan dan persetujuannya justeru menegaskan tindakan berkenaan adalah di luar kawalannya.

Beliau berkata, setiap wanita dalam sayap parti mempunyai kelayakan, kemampuan dan kelebihan masing-masing untuk memimpin namun beliau akan sentiasa akur serta menyokong sesiapa sahaja yang diberikan mandat oleh Presiden dan parti.

Pada masa sama, beliau menegaskan penyertaannya dalam PGRS adalah atas pelawaan Redonah sendiri dan beliau ikhlas menyumbang bakti kepada parti mengikut cara serta kapasiti yang dimiliki.

Davina turut menyatakan kesediaan menerima keputusan majoriti sekiranya keberadaannya dalam barisan Exco dianggap membebankan atau menjadi ancaman kepada parti, termasuk kesediaan berundur secara terhormat.

Bagaimanapun katanya, jika masih dipercayai mampu menyumbang dan memberi nilai tambah, beliau berbesar hati untuk terus komited sebagai rakan sepasukan dalam memperkukuh perjuangan parti.

Beliau pada masa sama menolak budaya politik yang disifatkannya sebagai tidak sihat, termasuk tindakan menikam belakang, menabur fitnah dan melaga-lagakan sesama sendiri bagi menjatuhkan individu tertentu.

“Saya menolak keras tindakan menjadikan nama saya sebagai ‘kambing hitam’ dalam permainan politik yang kotor. Saya berpegang teguh kepada prinsip politik yang bersatu padu, telus dan berasaskan meritokrasi,” katanya.

Davina turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai isu atau ketidakpuasan hati terhadapnya supaya tampil bersemuka dan menyelesaikannya secara profesional bukannya memutarbelitkan cerita di belakang selain menegaskan sebarang penilaian perlu dibuat secara adil dengan mendengar penjelasan kedua-dua pihak.

Beliau berharap barisan Exco Wanita PGRS dapat mengamalkan politik yang matang dan profesional serta tidak mencampuradukkan emosi peribadi dalam urusan parti, sambil menegaskan komitmennya untuk terus bekerja bagi parti dan berbakti kepada masyarakat.

Share This Article