KOTA KINABALU, 20 OGOS – Satu insiden kebakaran telah memusnahkan dua buah rumah kediaman, sebuah gerai makan serta melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Kionsom, awal pagi ini.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 1:53 pagi melibatkan lokasi di Gerai Makan Batu 3, Jalan Kionsom. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi sejauh 8 kilometer jam 2:03 pagi dengan anggota dari BBP Kota Kinabalu serta agensi lain.
Menurut laporan Komander Operasi, PBK I Selvister Bin Yamud, kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah dua tingkat separuh kekal (30×40 kaki), sebuah rumah tidak kekal (20×30 kaki) dan sebuah gerai makan (20×10 kaki). Turut terlibat ialah sebuah kereta Proton Saga (musnah 100%) dan Proton Persona (rosak 40%).
Sebanyak 14 anggota bomba dikerahkan menggunakan empat buah jentera. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan saluran hos sepanjang 300 kaki dan 200 kaki dengan sumber air daripada pili bomba awam serta tangki jentera.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2:52 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5:06 pagi setelah dipastikan tiada bahaya berulang. Paling melegakan tiada sebarang kes kecederaan atau mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Turut hadir membantu di lokasi ialah pihak polis (2 anggota) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (3 petugas) bagi memudahkan operasi menyelamat.
