DUA MAUT DALAM KEMALANGAN DI JALAN UMS

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,14 APRIL-Dua individu yang menaiki sebuah motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan UMS berhampiran Mini Putrajaya, awal pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.40 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun serta sebuah motosikal yang dinaiki dua individu.

“Siasatan mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra sebelum membuat pusingan U di lampu isyarat berhampiran Mini Putrajaya dan kemudian bergerak di lorong tengah.

“Ketika itu sebuah motosikal yang datang dari arah sama dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan terbabit,” katanya.

Akibat pelanggaran tersebut penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.

Syed Lot berkata, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui manakala usaha mengesan waris sedang giat dijalankan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.

Sementara itu pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak polis serta agensi berkaitan.

Dalam pada itu beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Penunggang motosikal turut diingatkan agar tidak menunggang secara berbahaya atau berkumpulan dalam keadaan laju kerana ia boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Share This Article