SANDAKAN, 15 OGOS – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman hari ini melawat Pusat Islam Sabah di Batu 7, Sungai Kayu, yang kini lebih 93 peratus siap.
Dalam lawatan berkenaan, Tun Musa meluangkan masa lebih dua jam meninjau setiap unit dan kemudahan yang sedang dibangunkan di pusat Islam berkenaan.
Turut mengiringi lawatan itu ialah Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson serta pegawai daripada Jabatan Ketua Menteri Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
Pusat Islam Sabah yang merupakan antara pembangunan seumpamanya yang pertama di Malaysia itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan.
Antara kemudahan utama yang disediakan ialah sebuah dewan serbaguna berkapasiti lebih 1,000 orang, masjid yang mampu menampung hampir 1,000 jemaah, Pusat Tahfiz al-Quran serta ruang kelas pengajian Islam.
Keunikan Pusat Islam Sabah turut terserlah menerusi reka bentuk dan hiasan dalaman masjid serta dewan serbaguna yang dikendalikan oleh sepasukan pakar hiasan dalaman dari Uzbekistan.
Elemen hiasan dalaman berkenaan dijangka menambah nilai estetika dan keindahan keseluruhan kompleks berkenaan, sekali gus berpotensi menjadikan Pusat Islam Sabah sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu di Sandakan dan Sabah.
Lawatan Tun Musa itu turut memberi peluang kepada beliau meninjau perkembangan terkini projek serta melihat sendiri kemudahan yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat Islam dan komuniti setempat apabila siap kelak.-Jalie Mohamed
