7,850 LITER PETROL DISYAKI DISELEWENG DIRAMPAS DI SEMPORNA

sabahheadlines
1 Min Read

SEMPORNA, 8 MEI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima dua serahan kes rampasan tanpa tuan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) pada Khamis melibatkan kegiatan penyelewengan barang kawalan di Kampung Mesra, di sini.

Rampasan dilakukan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) hasil serbuan di sebuah rumah tanpa nombor yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan minyak petrol secara haram.

Dalam operasi itu sebanyak 7,850 liter petrol disita bersama 314 jeriken, dua bot laju serta dua enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan bagi kegiatan berkenaan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM63,208.60.

Susulan itu, KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tindakan lanjut.

KPDN turut memberi amaran tegas kepada individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan kerana tindakan tegas termasuk denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Share This Article