PETALING JAYA,16 OGOS – Polis menafikan dakwaan tular di media sosial mengenai kemasukan sekumpulan lelaki bersenjata ke Semporna dan Lahad Datu.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana situasi keselamatan di kawasan berkenaan berada dalam keadaan terkawal.
Katanya, ESSCOM juga sentiasa menjalankan pemantauan dan kawalan keselamatan khususnya di perairan serta lokasi-lokasi strategik dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Langkah berkenaan termasuk pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang ancaman atau aktiviti mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk dan kawasan perairan Sabah Timur,” katanya.
Beliau turut menasihati supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang maklumat berkaitan ancaman keselamatan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pengesahan lanjut,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran Facebook mendakwa sekumpulan lelaki bersenjata tiba di Semporna dan Lahad Datu. Sumber: UTUSAN
