LAHAD DATU, 29 JUN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dibaham buaya dalam satu kejadian tragis di Jalan Dent Heaven, Kampung Tagupi, Lahad Datu pada tadi.
Bagaimanapun mangsa ditemui semula oleh ahli keluarga dan orang awam dalam keadaan tidak bernyawa pada hari ini, sekitar jam 2:00 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Jimmy Panyau berkata siasatan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut turut disaksikan oleh seorang jiran mangsa yang melihat sendiri kanak-kanak berkenaan ditarik oleh seekor buaya ke dasar sungai.
Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan parah akibat gigitan reptilia tersebut di bahagian belakang badan serta bahagian kaki mangsa.
Pihak polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai Mati Mengejut (SDR).
Ekoran insiden itu pihak Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada.
”Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati terutamanya ketika melakukan sebarang aktiviti air di kawasan sungai atau laut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berulang.” katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes atau tampil ke balai polis berhampiran dengan menghuhungi
Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Damsa bin Dahlan di talian telefon: 089-881255.
