SANDAKAN, 28 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sebanyak 1,700 paket minyak masak bersubsidi dalam satu operasi di perairan Sandakan awal pagi semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 3.00 pagi di kawasan Jeti Nelayan Kampung Combo, sebuah perahu yang ditinggalkan suspek berjaya dikesan selepas individu terbabit melarikan diri ke kawasan bakau sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan menemui 100 bungkusan plastik hitam mengandungi paket minyak masak bersubsidi, dengan sebahagiannya turut ditemui terapung di permukaan laut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM14,250.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah maritim.
