Tiga Lelaki Ditahan Dalam Ops Tapis, Positif Dadah

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 27 Mac — Tiga lelaki ditahan dalam satu operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, malam tadi.

Operasi yang bermula kira-kira jam 10 malam itu menyasarkan beberapa lokasi dikenal pasti di sekitar Batu 15, Jalan Labuk serta kawasan Taman Megah. Hasil serbuan, dua lelaki diberkas kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu, manakala seorang lagi ditahan atas kesalahan dipercayai memasukkan bahan terlarang ke dalam tubuh badan sendiri.

Ketiga-tiga suspek kemudiannya menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati positif amphetamine serta methamphetamine.

Menurut sumber, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan lanjut turut dijalankan berkaitan pemilikan bahan terlarang.

Semua suspek kini direman di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.

Operasi berkenaan dilaksanakan selaras dengan komitmen Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, dalam mempergiat usaha memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini.

TAMAT

Share This Article