LAHAD DATU, 25 Jun – Penemuan satu rangka manusia di kawasan parit di turunan bukit Taman Pertama 1 di sini mencetuskan tanda tanya apabila identiti mangsa masih belum dapat dipastikan manakala polis kini menjalankan siasatan bagi merungkai misteri di sebalik kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Suprintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan rangka manusia tersebut melalui talian MERS 999 pada jam 10.53 pagi daripada orang awam.
Menurutnya, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan awal.
“Rangka manusia berkenaan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk tujuan pemeriksaan serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan serta laporan forensik.
Sehubungan itu, polis menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau balai polis berhampiran.
Orang ramai juga boleh menghubungi Timbalan Ketua Polis Balai Lahad Datu, SM 152673 Ronney Lajius di talian 010-4641071 bagi menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan menentukan punca sebenar kematian.
