PAPAR,22 MEI- Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Seri Tanjung Pengalat Kecil awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.29 pagi itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar digerakkan ke lokasi kejadian
.Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Dahlan Jainudin tiba di lokasi pada jam 6.35 pagi, kira-kira empat kilometer dari balai.
Menurut laporan operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 40×60 kaki dan musnah kira-kira 90 peratus.
Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Ketika operasi dijalankan, seorang mangsa wanita warga emas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi pada jam 7.57 pagi.
Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia dipercayai akibat sesak nafas.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.30 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.36 pagi.
Turut membantu operasi ialah tiga anggota KKM, lima anggota PDRM serta dua anggota Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). Pihak bomba turut memaklumkan terdapat masalah litupan rangkaian GIRN di lokasi kejadian.
