SANDAKAN, 22 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Maritim Zon Sandakan berjaya menyelamatkan lima mangsa dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Nunuyan petang semalam.
Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada kira-kira jam 5.15 petang yang memaklumkan sebuah bot telah karam di kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika utara Pulau Nunuyan.
Difahamkan, kesemua mangsa keluar dari Jeti Nelayan Karamunting pada jam 6.00 pagi untuk menjalankan aktiviti memancing di sekitar perairan Pulau Nunuyan. Namun, bot yang dinaiki dipercayai karam selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan pulang.
Susulan laporan diterima, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kota Kinabalu segera mengatur gerak aset Maritim Malaysia iaitu Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 04 bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).
Hasil tindakan pantas pasukan penyelamat, kesemua lima mangsa lelaki warga tempatan berusia antara 38 hingga 59 tahun berjaya diselamatkan dan dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan untuk tindakan lanjut. Kesemua mangsa dilaporkan selamat dan hanya mengalami keletihan serta kesejukan.
Maritim Malaysia menasihatkan semua pengguna bot dan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di laut dengan memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan yang mencukupi serta memakai jaket keselamatan sepanjang masa. Pengguna juga disaran sentiasa memantau keadaan cuaca dan tidak melebihi had muatan yang ditetapkan.
Maritim Malaysia akan terus komited dalam memastikan keselamatan perairan negara serta sentiasa bersedia memberikan bantuan kecemasan kepada komuniti maritim yang memerlukan.
