SANDAKAN, 5 MEI- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini mengadakan lawatan kerja tiba di Lapangan Terbang Sandakan bagi menyempurnakan pelepasan konvoi bantuan kemanusiaan untuk mangsa kebakaran di daerah ini.
Konvoi bantuan tersebut digerakkan oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah dengan penglibatan sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis hasil sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap nasib mangsa yang terjejas.
Pelepasan konvoi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama kepimpinan parti dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian khususnya ketika berdepan musibah.
Pemangku Ketua Pemuda parti, Datuk Azrul Ibrahim berkata, bantuan yang disalurkan merupakan hasil usaha kolektif pelbagai pihak dan menjadi simbol solidariti dalam membantu meringankan beban mangsa kebakaran.
“Misi ini bukan sahaja membawa bantuan keperluan asas tetapi juga menyampaikan mesej sokongan moral kepada mangsa agar terus tabah menghadapi ujian,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan misi berkenaan, serta berharap usaha seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat.
