LAHAD DATU, 20 JUN– Momentum Pergerakan Pemuda UMNO Sabah kini berada pada tahap terbaik dalam mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Walau bagaimanapun, landskap politik di negeri ini ditegaskan mempunyai dinamik yang berbeza dan unik berbanding senario politik di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu menyatakan bahawa di sebalik perbezaan landskap tersebut, fokus utama sayap parti ketika ini adalah untuk memperkukuh kedudukan sedia ada serta memastikan pemuda terus berfungsi sebagai tunjang utama pertahanan parti di peringkat akar umbi.
”Pemuda adalah benteng yang sepatutnya berada di hadapan. Apa pun yang berlaku, kamilah yang harus menjaga Wanita, Puteri dan juga keseluruhan bahagian. Saya menasihati dan mengingatkan mereka agar terus memperkukuh sub-sub (cawangan) serta memantapkan jentera supaya benteng ini tidak roboh atau mudah ditumbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Parlimen P.188 Lahad Datu, di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Hj Mohd
Said Keruak dan dihadiri oleh kira-kira 200 orang perwakilan.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju parti, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu menjelaskan bahawa UMNO Sabah memberikan komitmen penuh terhadap kestabilan politik di bawah acuan Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau yang juga merupakan salah seorang menteri kabinet negeri menyuarakan harapan agar hubungan erat dalam kalangan komponen parti gabungan di Sabah terus dieratkan demi kelangsungan pembangunan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan belia khususnya pengundi baharu yang masih belum mempunyai hala tuju politik agar bijak menilai parti yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh.
Beliau mengingatkan bahawa daripada keseluruhan kerusi Parlimen, Sabah hanya menyumbang 25 kerusi berbanding 98 kerusi di Semenanjung Malaysia, yang menjadi penentu utama pembentukan kerajaan Persekutuan.
”Nasihat saya kepada belia dan beliawati, carilah pemimpin yang betul-betul boleh membawa pembangunan. Pilihlah parti yang mampu Memerintah bukan sekadar menjadi pendamping. Kita tidak mahu daerah kita terus ketinggalan,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai kriteria calon yang diperlukan bagi Parlimen Lahad Datu, beliau menegaskan parti memerlukan figura yang komited, mempunyai prestasi kerja yang tinggi dan dekat dengan rakyat.
Selain itu berjiwa muda, bersemangat, berpandangan jauh juga mampu menyatupadukan kepelbagaian suku kaum dan bangsa yang unik di Sabah.
Sementara itu, Datuk Seri Anil turut mengesahkan bakal turun padang bagi membantu jentera kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kawasan Pasir Gudang bermula 25 hingga 28 Mac sebelum menyambung fasa akhir kempen pada awal April depan diikuti dengan tugasan parti di Negeri Sembilan.
