TENOM, 5 Januari 2026 – Beberapa kawasan berisiko banjir di daerah Tenom dipantau rapi susulan cuaca hujan tidak menentu sejak 1 Januari lalu yang menyebabkan limpahan air sungai kecil dan Sungai Padas sekali gus menjejaskan laluan serta penduduk di beberapa kampung.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tenom, hujan lebat dari kawasan berbukit menjadi punca utama kenaikan paras air sungai sehingga menyebabkan lima kampung dinaiki air iaitu Kampung Enubai (Jalan Labut), Kampung Ponontomon, Kampung Pantungon Saga, Kampung Tumantalik dan Kampung Pantongan Sapong.
Limpahan Sungai Padas turut menyebabkan beberapa laluan utama tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan, termasuk di Kampung Enubai, Kampung Ponontomon, Kampung Pantungon Saga, Kampung Tumantalik, Kampung Pantongan Sapong serta Jalan Bensilon.
Sehubungan itu dua pusat transit sementara telah dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas masing-masing di Kampung Labut Satu dan Kampung Ponontomon.
Bagaimanapun jumlah mangsa terlibat masih menunggu pengesahan rasmi daripada Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKA).
Setakat jam 1.20 tengah hari bacaan paras air Sungai Padas direkodkan pada 176.79 meter melepasi paras amaran dengan trend air menunjukkan peningkatan.
Paras normal sungai adalah pada 174.50 meter manakala paras bahaya ditetapkan pada 177.00 meter.
Walaupun beberapa jalan dinaiki air pihak berkuasa memaklumkan tiada sekolah, fasiliti kesihatan, jalan terputus atau kejadian tanah runtuh dilaporkan setakat ini.
Cuaca di Tenom dilaporkan mendung dan tiada kes kecemasan direkodkan.
APM Daerah Tenom memaklumkan bahawa Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) kekal dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan khususnya jika keadaan banjir bertambah buruk.
TAMAT
