PEMUDA UMNO DIGESA UTAMAKAN AGENDA NEGERI & POLITIK MATANG

sabahheadlines
2 Min Read

​LAHAD DATU, 20 JUN– Pergerakan Pemuda UMNO Sabah digesa untuk membuang jauh-jauh amalan politik sempit dan tidak produktif sebaliknya meletakkan ‘Agenda Sabah’ serta politik matang sebagai paksi utama perjuangan demi masa depan negeri.

​Seruan tegas itu dizahirkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yang diketuai oleh Pembantu Menteri Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu.

​Menurut Dr. Salleh barisan pemimpin muda perlu mengalih fokus kepada isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat seperti peluang pekerjaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, prasarana serta kesejahteraan menyeluruh rakyat Sabah daripada terus hanyut dalam percantuman politik yang tidak membawa keuntungan kepada negeri.

​Tegas beliau sebagai sebahagian daripada komponen pentadbiran, Barisan Nasional (BN) Sabah kekal komited menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam menjayakan segala agenda pembangunan bawah gagasan Sabah Maju Jaya.

​”Peranan BN dalam kerajaan bukanlah untuk bertindak sebagai parti yang dominan atau sekadar mengejar jawatan dan gelaran.

Tanggungjawab hakiki kita adalah untuk menyumbang kepada kestabilan politik, menyokong agenda pembangunan kerajaan dan memastikan limpahan kemakmuran itu dinikmati oleh rakyat termasuk ahli parti di peringkat akar umbi,” jelas beliau.

​Dr. Salleh tidak menolak hakikat bahawa BN bukanlah rakan kongsi yang mempunyai kedudukan setaraf (dominan) dalam kerajaan negeri ketika ini dan realiti landskap politik tersebut harus diterima dengan penuh kematangan oleh seluruh ahli parti.

​Bagaimanapun beliau menegaskan perkara itu sama sekali tidak menghalang BN untuk terus memainkan peranan konstruktif sebagai rakan kongsi yang bertanggungjawab.

​”Apa yang paling utama ialah memastikan Sabah terus maju, ekonomi terus berkembang dan generasi muda kita disediakan dengan peluang yang lebih baik serta masa depan yang lebih cerah,” tambah beliau lagi.

​Sehubungan itu beliau mengingatkan bahawa generasi muda Sabah harus menjadi ejen kesederhanaan, perpaduan dan pembangunan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik kelompok yang sempit.

Share This Article