AKTA ANTIBULI 2026: UNDANG-UNDANG SAHAJA TIDAK MENCUKUPI TANPA KEBERANIAN UNTUK BERTINDAK

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU,20 JUN-Penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 yang berkuat kuasa pada 16 Jun lalu merupakan langkah penting dalam usaha membanteras gejala buli yang semakin membimbangkan di negara ini.

Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Erveana Ansari berkata akta berkenaan bersama penubuhan Tribunal Antibuli memberi ruang lebih jelas dan khusus kepada mangsa untuk mendapatkan pembelaan serta keadilan.

Menurut beliau, selama ini masyarakat sering dikejutkan dengan pelbagai insiden buli yang bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal dan trauma emosi malah dalam kes tertentu turut meragut nyawa.

“Akta ini adalah satu kemajuan besar namun kejayaannya tidak boleh diukur hanya melalui kewujudannya semata-mata. Keberkesanan sebenar bergantung kepada kesungguhan semua pihak untuk melaksana dan menguatkuasakannya secara telus dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara kebimbangan utama ibu bapa ialah kecenderungan sesetengah pihak untuk melihat kes buli sebagai isu remeh atau sekadar konflik biasa dalam kalangan pelajar.

Katanya, persepsi bahawa terdapat pihak yang lebih cenderung melindungi reputasi institusi berbanding memastikan kebenaran didedahkan perlu ditangani secara serius kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem perlindungan sedia ada.

“Setiap sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak. Apabila berlaku dakwaan buli keutamaan mesti diberikan kepada siasatan yang telus, pengumpulan bukti yang lengkap serta perlindungan kepada mangsa dan saksi.

“Tiada sesiapa pun, sama ada pelajar, guru, pentadbir sekolah atau mana-mana pihak lain, boleh menghalang saksi daripada tampil memberi keterangan atau bertindak sehingga menjejaskan integriti siasatan,” tegasnya.

Erveana turut menekankan bahawa pihak penguat kuasa perlu menjalankan siasatan secara profesional dan bebas daripada sebarang tekanan luar terutama dalam kes yang melibatkan unsur jenayah, kecederaan serius atau ancaman keselamatan.

Menurutnya, walaupun penyelesaian secara damai mempunyai tempat dalam sistem keadilan ia tidak boleh dijadikan pendekatan automatik bagi semua kes buli.

“Terdapat keadaan yang menuntut tindakan undang-undang demi kepentingan awam. Jika bukti mencukupi, kes perlu dibawa ke muka pengadilan bagi memberi mesej jelas bahawa setiap perbuatan mempunyai akibat dan pertanggungjawaban,” katanya.

Beliau berkata kegagalan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pembuli hanya akan mewujudkan persepsi bahawa perlakuan sedemikian boleh diteruskan tanpa sebarang kesan.

Namun demikian, beliau menegaskan isu buli tidak boleh dilihat dari sudut hukuman semata-mata kerana ramai pembuli datang daripada latar belakang yang kompleks dan memerlukan bimbingan, kaunseling serta intervensi yang bersesuaian.

“Pendekatan terbaik ialah menggabungkan elemen akauntabiliti dan pemulihan supaya mangsa mendapat keadilan manakala pelaku diberi peluang untuk berubah menjadi individu yang lebih baik,” katanya.

Dalam konteks Sabah, Erveana berharap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 turut mengambil kira cabaran yang dihadapi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata akses kepada maklumat, mekanisme aduan, bantuan guaman dan sokongan psikososial perlu diperluaskan agar setiap kanak-kanak menikmati perlindungan yang sama tanpa mengira lokasi atau latar belakang keluarga.

“Akta Antibuli 2026 mempunyai potensi besar untuk mengubah landskap perlindungan kanak-kanak di negara ini.
Namun, undang-undang yang baik tidak akan mencapai matlamatnya jika mereka yang diamanahkan untuk melaksanakannya memilih untuk menutup mata terhadap ketidakadilan.

“Membanteras buli memerlukan keberanian untuk bercakap benar, melindungi mangsa dan memastikan tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. Hanya dengan cara itu kita dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang benar-benar selamat untuk generasi masa depan negara,” katanya.

Share This Article