LAHAD DATU,18 JUN – Seramai 64 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari pada 16 dan 17 Jun lalu.
Operasi membabitkan 262 pegawai dan anggota pelbagai agensi itu turut mengesan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen, pekerjaan, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan kastam dengan nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun serta rampasan dianggarkan sebanyak RM623,450.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi berkenaan merekodkan 71 notis dan kompaun serta dua kes pendakwaan oleh jabatan dan agensi penguatkuasaan yang terlibat.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain membanteras kehadiran PATI, mengekang aktiviti ekonomi tidak sah dan memperkukuh keselamatan serta ketenteraman awam.
“Hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas 247 individu mendapati 64 daripadanya merupakan PATI yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.”Kesemua mereka ditahan dan diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) turut mengeluarkan 11 kompaun pelbagai kesalahan serta memulakan dua tindakan pendakwaan di bawah Akta Kerja 1955 melibatkan nilai penguatkuasaan sebanyak RM133,000.
Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi sama, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas rokok seludup dan minuman keras tanpa lesen bernilai kira-kira RM30,000, manakala Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) mengeluarkan satu kompaun serta menyita pelbagai barangan jualan tanpa lesen bernilai RM1,150.
Sementara itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merampas 150 kilogram kabel sambungan haram dan 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan RM14,800.
Menurut beliau, SESB menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan haram itu mencecah RM429,600 setahun selain berisiko mengundang kebakaran dan mengancam keselamatan penduduk setempat.
Victor berkata, kejayaan operasi bersepadu berasaskan risikan itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara pelbagai agensi dalam mengesan pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi seumpama itu selaras dengan konsep “Tiada Hari Tanpa Operasi” bagi memastikan kawasan ESS Zone kekal selamat, teratur dan kondusif untuk pembangunan serta pelaburan.
