KOTA MARUDU, 18 JUN – Para penggiat seni dan penulis lirik tempatan diseru mengembalikan peranan lagu sebagai medium pendidikan yang mampu merangsang pembangunan ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM), Datuk Dr. Janathan Kandok berkata lagu yang sarat dengan mesej positif mampu mempengaruhi pemikiran serta membentuk sikap masyarakat ke arah yang lebih progresif.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan Sugandoi sempena Pesta Kaamatan Kampung Soronsob, Kota Marudu 2026.di sini kelmarin.
Menurut beliau, sejak zaman dahulu lagu rakyat telah digunakan sebagai medium penyampaian ilmu yang berkesan justeru pertandingan nyanyian sempena Pesta Kaamatan perlu diangkat melangkaui fungsi hiburan semata-mata.
“Kuasa pengulangan lirik lagu sangat luar biasa. Lirik yang bermakna mampu menembusi minda, turun ke hati dan seterusnya mempengaruhi sikap serta tindakan rakyat. Kita perlu memanfaatkan pengaruh ini untuk membentuk masyarakat yang lebih proaktif,” katanya.
Beliau yang juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia berkata, penulis lirik tempatan digalakkan menghasilkan karya berunsurkan motivasi yang mampu membangkitkan semangat rakyat untuk mengusahakan sektor pertanian.
Katanya, lagu-lagu sedemikian boleh mendorong masyarakat mengusahakan tanaman komersial seperti jagung, padi dan pisang secara lebih serius dan berskala besar.
“Kita mahu lirik lagu menjadi pembakar semangat bagi melahirkan lebih ramai usahawan di Kota Marudu,” katanya.
Dr. Janathan yang juga bekas Pengarah Kastam Sabah berkata, usaha itu selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diterajui Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, fokus utama kerajaan adalah meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pengukuhan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan di peringkat akar umbi.
Tambahnya, lirik lagu yang berpaksikan nilai positif dan aspirasi pembangunan mampu menjadi penggerak yang mendorong rakyat membina masa depan yang lebih makmur.
“Apabila rakyat mendengar lagu yang meniupkan semangat untuk berdikari dan berniaga ketika bekerja di ladang atau di pejabat, secara tidak langsung ia akan mengubah landskap ekonomi kita.
“Mari kita gunakan seni muzik untuk membina sebuah komuniti yang lebih berdaya saing dan berjaya,” tegas beliau.
