KOTA KINABALU, Rabu – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan barisan Ahli Jemaah Menteri Negeri dalam satu acara rasmi di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, di sini.
Majlis berkenaan menyaksikan semua anggota Kabinet negeri melafazkan ikrar sebagai tanda komitmen untuk memperkukuh integriti serta menolak sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dalam pentadbiran kerajaan.
Sejurus selesai lafaz ikrar, Ketua Menteri bersama barisan menteri menandatangani dokumen rasmi IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah.
Menurut Mohd Fuad, penyertaan kepimpinan tertinggi negeri dalam program itu mencerminkan iltizam yang jelas untuk memperkukuh tadbir urus baik serta membudayakan integriti dalam pentadbiran awam.
Beliau berkata, usaha berkenaan akan diperluas ke seluruh kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri supaya inisiatif pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Katanya lagi, penglibatan pelbagai pihak termasuk jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta amat digalakkan bagi memastikan mesej penolakan rasuah diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang konsisten dan berimpak tinggi.
TAMAT
