114 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI IMIGRESEN DI TIGA DAERAH

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 12 JUN – Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof memaklumkan seramai 114 warga asing ditahan dalam siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan menerusi beberapa operasi khas termasuk Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja.

Menurutnya, di Tawau seramai 61 warga asing ditahan selepas 108 individu diperiksa atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan melanggar syarat pas. Tangkapan membabitkan warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.

Di Lahad Datu, seramai 35 warga asing termasuk kanak-kanak ditahan hasil pemeriksaan terhadap 86 individu, manakala di Sandakan pula 18 warga asing ditahan selepas 64 individu diperiksa dalam operasi yang sama.

Beliau berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi.

Share This Article