KUALA LUMPUR, 11 Februari – Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiat usaha memperkasa pembangunan bakat dan kemahiran apabila Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat HRD Corp di sini, baru-baru ini.
Lawatan itu bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperkukuh bidang latihan dan pembangunan sumber manusia melibatkan rakyat, pelajar serta warga pendidik di negeri ini.
Menurut James, tumpuan perbincangan adalah untuk memastikan program latihan yang dirangka selari dengan keperluan semasa industri dan sektor pendidikan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta daya saing tenaga kerja Sabah mengikut bidang dan kategori bersesuaian.
Beliau berkata, pembangunan bakat secara tersusun dan berimpak tinggi dilihat sebagai pemangkin penting dalam mempercepat kemajuan negeri, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan teknologi yang semakin mencabar.
Sesi perbincangan itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dato’ Mohamed Shamir Abdul Aziz.
Kerajaan negeri berharap jalinan kerjasama itu dapat membuka lebih banyak peluang latihan serta peningkatan kemahiran bagi melahirkan masyarakat Sabah yang progresif dan berdaya saing.
TAMAT
