TAWAU, 10 JUN– Tiga lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terlibat dalam kes pemilikan barang curi serta penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Bin Hussin berkata, tangkapan dibuat hasil operasi dan rondaan cegah jenayah pada 22 dan 28 Mei lalu yang dijalankan di beberapa lokasi berbeza.
Menurut beliau, dalam operasi pertama sekitar jam 2 pagi di Batu 4½ Jalan Apas, dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis. Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah powerbank yang dipercayai berkait dengan kes curi di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua suspek turut didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah, selain ujian air kencing mengesahkan mereka disyaki mengambil dadah, sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Salah seorang daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau.
Dalam operasi berasingan pada 28 Mei sekitar jam 1.45 pagi di Jalan Persisiran Tawau, seorang lagi lelaki warga asing berusia 30-an ditahan selepas didapati memiliki 0.07 gram bahan disyaki syabu. Suspek juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama.
Polis Tawau menegaskan operasi penguatkuasaan serta rondaan akan terus dipergiatkan bagi membanteras jenayah, dadah dan pelanggaran undang-undang imigresen di daerah ini.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melindungi pendatang tanpa izin serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
