SANDAKAN ,22 APRIL- Kerajaan Persekutuan akan menambah bantuan RM500 kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia Batu Sapi.
Tambahan bantuan RM500 itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media di sini hari ini.
Beliau berada di sini untuk meninjau dan melawat mangsa kebakaran Kampung Bahagia Batu Sapi yang berlaku awal pagi Isnin.
Anwar berkata, bantuan RM500 itu adalah tambahan kepada bantuan RM1,000 yang telah diserahkan kepada mangsa kebakaran.
Beliau berkata, bantuan yang diberikan adalah untuk kesemua mangsa yang terlibat.
“Atas dasar kemanusiaan kita serah bantuan itu untuk semua mangsa kebakaran yang terlibat sama ada warganegara ataupun sebaliknya.
Ada yang mencadangkan agar bantuan itu hanya untuk warganegara tetapi kita memutuskan untuk memberikannya kepada semua yang terlibat,katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah memberikan bantuan RM1,000 untuk semua mangsa kebakaran.
Anwar juga memberitahu Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan proses bagi membantu mangsa yang kehilanfan kad pengenalan diri dan dokumen yang berkaitan.
Beliau berkata Jabatan Pendaftaran Negara akan beroperasi di pusat pemindahan sementara itu bagi membantu mangsa.
“Saya memberikan jaminan mengenai perkara ini kerana setiap mangsa mempunyai rekod,” katanya lagi.
