87 AYAM SABUNG BAKA IMPORT DIRAMPAS Dua LELAKI DITAHAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 13 MEI- Aktiviti penyimpanan ayam sabung dipercayai baka import tanpa permit di Batu 7, Jalan Airport, di sini, terbongkar selepas dua premis diserbu menerusi Op Taring Sangkar, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, dua lelaki berusia 30 dan 33 tahun ditahan bersama 87 ekor ayam disyaki ayam sabung serta pelbagai peralatan dan ubat-ubatan dengan nilai rampasan dianggarkan RM529,245.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Datuk Mohd Zaki Azhar berkata, operasi dijalankan hasil risikan berhubung kegiatan membawa masuk ayam sabung dari luar negara tanpa lesen sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis tidak mempunyai permit berkaitan penyimpanan ayam sabung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara barangan dirampas termasuk sangkar ayam, glove taji, picagari, vitamin dan ubat-ubatan dipercayai digunakan bagi penjagaan ayam sabung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 dan semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Sabah untuk tindakan lanjut.

Share This Article