118 TERIMA WATIKAH PELANTIKAN AJK PGRS BAHAGIAN LIBARAN

sabahheadlines
1 Min Read

LIBARAN, 7 SEPT – Seramai 118 individu menerima Watikah Pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Libaran bagi memperkukuh struktur organisasi serta memperkemas gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

Penerima watikah terdiri daripada barisan AJK Bahagian, Wanita, Pemuda dan Beliawanis yang dilantik bagi menggalas tanggungjawab dalam memastikan agenda serta gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

Watikah pelantikan disampaikan Ketua Bahagian PGRS Libaran, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Musa dalam satu majlis yang berlangsung di Sri Libaran, di sini.

Pelantikan berkenaan dibuat selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta tertakluk kepada kelayakan dan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan 1980 dan Perlembagaan Parti.

Majlis berkenaan turut mencerminkan penghargaan serta kepercayaan parti terhadap barisan kepimpinan yang dilantik untuk menggerakkan organisasi dengan lebih mantap.

Barisan AJK yang menerima watikah itu diharap dapat memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan parti dengan masyarakat selain terus mendekati dan menyantuni komuniti di peringkat akar umbi.

Pelantikan itu juga dilihat sebagai langkah memperkemas jentera organisasi PGRS Bahagian Libaran dalam menghadapi pelbagai tanggungjawab serta cabaran politik dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Share This Article