KOTA KINABALU,9 MEI- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menahan 21 warga asing dalam operasi bersepadu menerusi Ops and Sapu yang dijalankan di sekitar daerah ini semalam.
Operasi melibatkan pemeriksaan di tiga premis itu menyaksikan seramai 40 individu diperiksa sebelum 21 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Semua yang ditahan terdiri daripada 19 warga Filipina iaitu empat lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, selain dua warga Indonesia membabitkan seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Menurut JIM Sabah, operasi itu merupakan sebahagian usaha berterusan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
Jabatan itu turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan warga asing tanpa izin kepada pihak berkuasa.
