SANDAKAN, 9 Januari 2026 – Mahasiswa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diseru agar mempersiapkan diri sebagai modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong agenda pembangunan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, YB Tuan Hazeem Mubarak Musa, berkata transformasi daripada seorang pelajar kepada mahasiswa yang kompeten merupakan kunci utama dalam memenuhi keperluan industri moden yang semakin mencabar.
Menurut beliau, pembangunan modal insan adalah pelaburan terpenting bagi menjamin masa depan negeri, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.
“Kita mahu melahirkan anak-anak Sabah yang bukan sahaja memiliki kelulusan akademik, tetapi turut dilengkapi kemahiran tinggi, kompeten serta mampu berdaya saing di peringkat global,” katanya sambil memetik pesanan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Minggu Transformasi Siswa (MTS) di Politeknik Sandakan Sabah, di sini hari ini.
Hazeem turut menegaskan bahawa Politeknik Sandakan memainkan peranan strategik sebagai ‘kilang’ melahirkan teknokrat muda yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan Sandakan dan sekitarnya.
Tambah beliau, kebolehpasaran graduan TVET kini menjadi keutamaan majikan berbanding kelulusan teori semata-mata.
“Saudara dan saudari adalah ‘enjin’ kepada transformasi ekonomi negeri. Jangan hanya menunggu peluang, sebaliknya ciptalah peluang melalui inovasi dan kemahiran yang ditimba sepanjang pengajian di sini,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, seramai 144 mahasiswa baharu memulakan sesi pengajian mereka di Politeknik Sandakan Sabah bagi sesi semasa.
Program Minggu Transformasi Siswa itu bertujuan menyuntik semangat kepimpinan, membina jati diri serta membantu mahasiswa menyesuaikan diri dengan budaya kampus yang dinamik.
Majlis turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi politeknik serta pemimpin masyarakat setempat.
TAMAT
