LELAKI TEMPATAN DITAHAN, DISYAKI TERLIBAT KES CEDERA DAN UGUT DI TAWAU

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 4 APRIL — Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes mencederakan dan ugutan jenayah dalam satu operasi di Jalan Dominic, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari oleh sepasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau susulan maklumat awam serta risikan berkaitan kes yang sedang disiasat.

“Suspek ditahan di sebuah premis selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kejadian jenayah yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, hasil semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan melibatkan ugutan jenayah.

Tambahnya, pihak polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan akan terus mempergiat usaha bagi memastikan keselamatan awam terpelihara.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menjauhi sebarang aktiviti jenayah serta sentiasa mematuhi undang-undang demi kesejahteraan bersama.

Share This Article