TANAH RUNTUH DI SIPITANG, TIADA MANGSA CEDERA

sabahheadlines
1 Min Read

SIPITANG: 16 Jan – Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan Perumahan PMP Baru petang tadi.

Kejadian itu menyebabkan bahagian dapur sebuah rumah kediaman rosak, namun semua penghuni terselamat.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 4.17 petang itu melibatkan sebuah rumah yang didiami empat individu dewasa. Tiada kecederaan dilaporkan dan penghuni disahkan berada dalam keadaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira sembilan kilometer dan tiba dalam tempoh 10 minit.

Menurut beliau, pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan kerana tiada keperluan operasi menyelamat, selain menasihatkan penghuni supaya mengosongkan kediaman sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko runtuhan susulan.

Pemantauan turut disertai Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd serta Pegawai Daerah, dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Sipitang, Datuk Matbali.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 malam selepas keadaan disahkan selamat.

Share This Article