TAWAU, 4 MEI -Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mengeluarkan ugutan bunuh terhadap seorang pekerja susulan pertikaian berkaitan urusan kerja, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin, berkata suspek berusia 59 tahun itu diberkas kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan bandar ini.
Menurutnya, insiden bermula pada 30 April lalu apabila berlaku perselisihan faham antara mangsa berusia 36 tahun dengan suspek yang merupakan penolong pengurus kewangan.
“Beberapa hari kemudian, mangsa menerima mesej suara melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek yang mengandungi ugutan serius sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis sebelum pihak berkuasa berjaya menahan suspek dan merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Jasmin menegaskan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan konflik, sebaliknya menyelesaikan sebarang pertikaian secara profesional kerana sebarang bentuk ugutan adalah kesalahan serius di sisi undang-undang.
