LELAKI SERAH DIRI DAN SENJATA ‘EKOR PARI’ DIRAMPAS POLIS DI TAWAU

sabahheadlines
1 Min Read

TAWAU, 17 APRIL– Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin mengesahkan seorang lelaki warga asing bertindak menyerah diri selepas dipercayai terbabit dalam kes mencederakan individu lain menggunakan objek berbahaya, petang kelmarin..

Beliau berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 5.20 petang sebelum suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an tampil ke Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan bagi mengaku penglibatannya.

“Ketika hadir menyerah diri suspek turut membawa bersama satu objek dipercayai ekor pari yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut. Pihak polis kemudian membuat tangkapan serta merampas bahan berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya di sini.

Menurutnya, suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi melengkapkan proses siasatan.

Hasil siasatan awal juga mendapati lelaki terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan satu lagi kes serupa yang dilaporkan sebelum ini.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar batas undang-undang sehingga boleh mencederakan pihak lain sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya

Share This Article