KOTA KINABALU, 4 Mei – Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman memaklumkan pihaknya berjaya menggagalkan cubaan pengedaran dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM15 juta menerusi pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar.
Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan pada 22 April lalu apabila pasukan penguat kuasa JKDM Sabah menahan dan memeriksa kontena 40 kaki yang dihantar dari Pelabuhan Klang.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 305.722 kilogram dengan nilai anggaran RM15.29 juta,” katanya.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan taktik mengikrarkan barangan sebagai “drink stuff” dalam dokumen penghantaran bagi mengaburi pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.
