EMPAT LOKASI SABAH CATAT IPU TIDAK SIHAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,1 SEPT – Empat lokasi di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemaran  Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi hari ini, susulan keadaan kualiti  udara yang kurang baik di beberapa kawasan negeri

Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah yang dikemas kini pada 1  September 2026, Kota Kinabalu mencatat bacaan tertinggi 171, diikuti Kimanis dan  Keningau masing-masing 156 manakala Tawau 132 Sandakan pula merekodkan  bacaan IPU 91 yang dikategorikan sebagai sederhana. 

Sehubungan itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah  menasihatkan orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung  dan individu yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengurangkan aktiviti di  luar rumah serta mengelakkan aktiviti fizikal dan lasak. 

Mereka yang perlu keluar rumah disaran memakai pelitup muka yang sesuai selain  meminum air secukupnya, menjaga kebersihan diri selepas aktiviti luar dan memastikan  pengudaraan dalam bangunan berada pada tahap baik. 

JPBN turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka dan  sentiasa mengikuti perkembangan bacaan IPU serta nasihat terkini daripada JAS dan  pihak berkuasa kesihatan.  

Sementara mereka yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas atau sakit dada  dinasihatkan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. 

JPBN Sabah akan terus memantau perkembangan kualiti udara di seluruh negeri dan  menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi  mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar. 

Share This Article