TAWAU, 19 APRIL- Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa isu berkaitan dakwaan kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik menjadi milik Indonesia perlu difahami secara menyeluruh berdasarkan fakta serta kerangka perjanjian antarabangsa.
Beliau berkata, laporan media luar negara berhubung perkara tersebut adalah tidak tepat, tidak menyeluruh dan berpotensi mengelirukan orang ramai sekiranya tidak diteliti dalam konteks sebenar.
Menurut beliau, penjelasan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia mengesahkan bahawa kawasan berkenaan masih berstatus “grey area”, dan rundingan penetapan sempadan antara Malaysia dan Indonesia belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Perkara itu turut disokong oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor yang menegaskan laporan berkenaan tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan dua hala antara kedua-dua negara.
Dalam masa sama, beliau merujuk kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup bahawa penentuan sempadan di Pulau Sebatik adalah berpandukan Boundary Convention 1891, dengan jajaran sempadan ditetapkan di sepanjang garis latitud 4°10’ Utara.
“Proses ini bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah melalui rundingan teknikal dan diplomatik yang panjang sejak sekian lama, termasuk semakan bersama serta pengukuran semula menggunakan teknologi moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa penyelesaian persempadanan tersebut dibuat secara menyeluruh dan melibatkan beberapa lokasi lain, bukan hanya tertumpu kepada satu kawasan.
“Malaysia sebenarnya memperoleh pertambahan wilayah yang lebih besar di lokasi lain, selain pelarasan kecil yang selaras dengan prinsip perjanjian asal,” katanya lagi.
Sehubungan itu beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa Malaysia kehilangan wilayah hanya berdasarkan satu angka tanpa melihat keseluruhan konteks rundingan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan bagi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
Nizam turut menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat berkaitan isu sensitif seperti sempadan negara serta sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Kita kekal komited untuk mempertahankan kedaulatan negara, sambil menghormati proses diplomasi yang matang antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
