SEMPORNA, 19 APRIL- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menerima dua kes serahan daripada Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak hasil operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan di perairan utara Mataking, dekat sini, kelmarin.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 8.20 pagi itu, pihak berkuasa berjaya menahan dua individu disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Turut dirampas ialah 257 liter petrol, dua bot laju, tiga enjin sangkut serta lima tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 75 kilogram, selain beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan mencecah RM10,948.44.
Semua barang rampasan kini disimpan di pejabat KPDN Semporna manakala bot yang dirampas ditempatkan sementara di Pangkalan Jeti PGA Kunak untuk tindakan lanjut.
KPDN menegaskan akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan barang kawalan melalui kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain.
