SANDAKAN-20 Dis, Penyelesaian masalah asas rakyat khususnya isu bekalan air menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila,Haji Hazem Mubarak Musa selepas diberi mandat untuk memimpin kawasan berkenaan.
Hazem berkata, isu bekalan air yang membebankan penduduk telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama baru-baru ini sebagai usaha menyuarakan keresahan rakyat yang terkesan.
Menurutnya, penyelesaian masalah asas perlu diberi keutamaan sebelum sebarang perancangan pembangunan yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan di kawasan itu.
“Bagi saya..paling penting adalah mengatasi masalah-masalah asas yang dihadapi rakyat di Sungai Manila. Selepas itu barulah kita boleh merancang dan melaksanakan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Kerisauan dan kesulitan yang ditanggung rakyat akibat masalah bekalan air perlu diberi perhatian segera sebelum sebarang agenda pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Kenduri Kesyukuran Sungai Manila yang diadakan di pekarangan Masjid Raya Sri Aman Pekan Muhibah, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu Hazem turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk Sungai Manila atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya meskipun kawasan tersebut merupakan satu-satunya DUN di Sandakan yang bersama kerajaan.
“Kedudukan sebagai wakil rakyat memberi ruang kepada saya untuk membantu serta menyuarakan isu-isu melibatkan kawasan Sandakan sama ada di peringkat DUN.
“Sekiranya terdapat perkara yang perlu saya suarakan demi kepentingan rakyat Sandakan.. saya akan lakukan sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya.
TAMAT
