LAHAD DATU,19 APRIL- Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya dalam satu kejadian di Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, pagi tadi.
Ketua Balai BBP Lahad Datu, Samsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10:27 pagi berhubung insiden tersebut.
“Menurut maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10:00 pagi ketika mangsa sedang mandi-manda di tepi pantai sebelum disambar seekor buaya dan diseret ke dalam laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, sepasukan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi tersebut turut melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemui setakat ini.
“Pasukan bomba kini berada di lokasi kejadian bagi operasi pencarian di permukaan sekitar anak sungai dan operasi SAR menggunakan bot akan dijalankan di kawasan terlibat esok,” tambah beliau.
Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa masih belum diperolehi, namun mangsa disahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti di kawasan berisiko tinggi, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai habitat buaya.
Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
