TAWAU, 13 APRIL – Cubaan menyeludup keluar sebanyak 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam satu operasi di perairan daerah ini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin bin Ghazali berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diterima ketika pasukan ronda sedang melaksanakan Op Pluto Timur dan Op Tiris di kawasan berkenaan.
Menurut beliau susulan maklumat tersebut sebuah bot ronda telah diatur gerak ke lokasi sasaran sebelum berjaya memintas sebuah bot kargo yang bergerak keluar dari Jeti Batu 3 menuju ke arah Pulau Sebatik kira-kira jam 6.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang membawa 30 tong LPG berisi tanpa sebarang permit sah dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Turut didapati juragan terbabit tidak mempunyai rekod pendaftaran nama dalam lesen bot yang digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek bersama bot dan muatan telah ditahan sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Tambah beliau keseluruhan rampasan melibatkan bot kargo, enjin dan muatan LPG dianggarkan bernilai melebihi RM30,000.
Dalam pada itu Ariffin menegaskan pihaknya akan terus mempergiat kawalan dan pemantauan di kawasan perairan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi bagi aktiviti penyeludupan.
“Taktik sindiket yang menggunakan waktu sunyi untuk mengelak dikesan tidak akan menghalang usaha penguatkuasaan. Maritim Malaysia akan terus meningkatkan rondaan dan kesiapsiagaan aset bagi mengekang jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan khususnya melibatkan barangan bersubsidi yang menjejaskan kepentingan negara.
