KOTA MARUDU, 13 OGOS – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah mengesan sebuah premis yang dipercayai dijadikan stor pengumpulan petrol dan diesel bersubsidi dalam serbuan di Kampung Tangkol, Jalan Marak Parak, di sini, petang kelmarin.
Serbuan kira-kira jam 4 petang itu merupakan tindakan susulan hasil maklumat risikan berkaitan kes tangkapan dan rampasan terdahulu di Pitas.
Hasil pemeriksaan di bahagian belakang premis menemukan 33 tong drum berkapasiti 200 liter terdiri daripada 10 tong yang disyaki mengandungi petrol dan 23 tong disyaki mengandungi diesel.
Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai pemilik premis turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen, lesen, permit atau kebenaran sah berkaitan penyimpanan bahan api berkenaan.
Kesemua barang kes dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM33,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM W4 Sabah, ACP Ahmad Amri bin Abd Rahman, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang menyeleweng serta menyalahgunakan barang bersubsidi kerajaan.
Menurutnya, tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan subsidi yang disediakan kerajaan dapat dinikmati golongan yang benar-benar berhak.
PPM Wilayah 4 Sabah juga akan terus mempergiatkan risikan dan operasi susulan bagi mengesan rantaian kegiatan penyelewengan barang kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu.
