KPDN SABAH TUMPAS PENYELEWENGAN DIESEL, DUA INDIVIDU DITAHAN DALAM OPS TIRIS 4.0

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 13 APRIL- Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi berjaya dibongkar apabila dua individu termasuk pemilik stesen minyak ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di Penampang pada 10 April lalu.

Serbuan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah itu adalah hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar ibu negeri.

Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata operasi berkenaan membawa kepada pemeriksaan sebuah stesen minyak sebelum pihaknya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an sedang mengisi diesel ke dalam tangki tambahan menggunakan sistem saluran khas pada kenderaan, dipercayai melebihi had yang dibenarkan,” katanya..

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan sebuah tangki jenis IBC berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi kira-kira 250 liter diesel.

Menurutnya keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,897.35 melibatkan kenderaan, resit pembelian, tangki simpanan, pam elektrik, hos serta bahan api diesel.

Operasi itu katanya dilaksanakan susulan penguatkuasaan kawalan penjualan diesel bermula 1 April lalu yang menetapkan had pembelian antara 50 hingga 150 liter bagi setiap transaksi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Langkah kawalan ini bertujuan memastikan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk sindiket penyeludupan,” jelasnya.

Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu KPDN memberi amaran akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan bahan api bersubsidi serta memastikan bekalan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Share This Article