TAWAU, 7 Mei : Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham secara dalam talian selepas menahan 28 warga asing dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Sri Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force KDNKA.
Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pelaburan saham tidak wujud menerusi beberapa aplikasi komunikasi dengan menyasarkan mangsa dari Korea.
“Hasil serbuan, polis menahan 27 warga China dan seorang warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, premis yang diserbu dipercayai dijadikan tempat operasi, penginapan dan pusat latihan sindiket terbabit.
Polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba serta dua modem internet dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM50,000.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, rangkaian sindiket serta jumlah sebenar mangsa dan kerugian yang dialami.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala semua suspek direman bermula hari ini.
