LELAKI DITAHAN DISYAKI TERLIBAT KES PECAH RUMAH DI TAWAU

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 4 APRIL — Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah menerusi satu operasi khas di sekitar daerah ini, pada Khamis lalu..

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan suspek yang merupakan warga asing berusia lingkungan 20-an diberkas kira-kira jam 4 petang di kawasan Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama.

“Tangkapan dilakukan oleh sepasukan Strike Team dari Balai Polis Tawau hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati suspek menyerahkan sehelai baju berwarna hijau yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu mengaku terlibat dalam satu kes pecah rumah yang kini dalam siasatan pihak polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi,” jelasnya.

Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi tujuan siasatan lanjut.

Tambah beliau, semakan turut mendapati suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah.

Dalam pada itu, pihak polis menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi membanteras jenayah di daerah ini tanpa sebarang kompromi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Share This Article