BEKALAN AIR SANDAKAN DIHENTI SEMENTARA 13 APRIL INI BAGI KERJA PENYELENGGARAAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 4 APRIL — Bekalan air di beberapa kawasan sekitar Sandakan akan mengalami gangguan sementara bermula jam 8 pagi hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf di Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud.

Menurut Jurutera Air Bahagian Sandakan, Nelly Jucee Phillip penutupan tersebut melibatkan pelaksanaan kerja penggantian 16 unit injap baharu di sistem pam air terawat.

Langkah ini diambil bagi meningkatkan kecekapan operasi loji serta memastikan bekalan air yang lebih stabil kepada pengguna pada masa hadapan.

“Penutupan sementara ini adalah perlu bagi membolehkan kerja-kerja teknikal dilaksanakan dengan selamat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan untuk membuat persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

Bekalan air dijangka dipulihkan secara berperingkat selepas kerja-kerja selesai, dengan tekanan air kembali normal dalam tempoh kira-kira seminggu.

Antara kawasan yang terjejas termasuk beberapa penempatan utama seperti Batu 1 hingga Batu 17, Bandar Sibuga Jaya, Taman Megah, Taman Indah, Bandar Kim Fung, Taman Mawar, Taman Sibuga serta beberapa kawasan perumahan dan komersial lain di sekitar Sandakan.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline Jabatan Air Sandakan di 017-2504498 atau 012-3052346.

Pihak berkuasa memohon kerjasama semua pihak agar dapat mengurus penggunaan air dengan bijak sepanjang tempoh gangguan ini.

Share This Article