LAHAD DATU, 30 Mac 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya merampas sebanyak 1,088 paket minyak masak bersubsidi dalam satu operasi di Kampung Atiam, di sini, petang kelmarin.
Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 3.10 petang itu adalah hasil maklumat risikan yang diterima pihak berkuasa.
Dalam operasi berkenaan, sebuah lori jenis rigid jenama Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 61 tahun telah ditahan untuk pemeriksaan.
Menurut sumber, pemeriksaan ke atas lori yang ditutupi kain kanvas menemui beberapa bungkusan plastik hitam mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan tersebut mengandungi kotak minyak masak bersubsidi jenama Cap Mawar,” kata sumber itu lagi.
Setiap kotak mengandungi 17 paket minyak masak menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 64 kotak atau 1,088 paket.
Pemandu lori terbabit bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membawa serta menyimpan bekalan tersebut.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jumlah nilai rampasan dianggarkan mencecah RM42,790.
PPM menegaskan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras penyelewengan barangan bersubsidi demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.
