SEMPORNA, 12 JUN-Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan barangan kawalan dan runcit serta merampas sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dalam operasi rondaan awal pagi tadi.
Menurut Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir bin Shubli, insiden berlaku kira-kira jam 4.20 pagi ketika sepasukan anggota yang mengendalikan aset Bot Banggi 09 sedang melaksanakan rondaan bersepadu di bawah Ops Sejahtera, Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur, dan Op Tiris 4.0.
Ketika dikesan bot berkenaan bertindak memecut laju untuk melarikan diri. Namun anggota Maritim berjaya memintasnya kira-kira 25 minit kemudian di kedudukan 0.1 batu nautika ke arah Timur Laut Kampung Bangau-Bangau.
Walaupun begitu, juragan bot tersebut sempat terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan perumahan atas air di kampung berkenaan bagi mengelakkan tangkapan.
Pemeriksaan lanjut ke atas bot berwarna kelabu itu menemui pelbagai barangan yang cuba diseludup, antaranya, 7 tong gas, 5 tong jerican berisi minyak petrol, 10 beg beras (10 kilogram setiap satu) pelbagai jenama, 14 tin cat bersaiz 5 liter,9 tin cat bersaiz 1 liter dan1 tong ikan berwarna Merah.
Kesemua barangan rampasan termasuk bot dan enjinnya telah ditunda ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.Kes ini kini disiasat di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.
Komander Amir menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan melanggar undang-undang negara terutamanya yang melibatkan penyeludupan barang merentasi sempadan.
Beliau juga menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut kepada pihak berkuasa dengan segera.
