TAWAU, 28 Mac – Seorang lelaki ditahan dalam satu operasi khas Op Tapis yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek ditahan selepas didapati berkelakuan mencurigakan ketika operasi dijalankan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan dipercayai syabu dengan anggaran berat 0.07 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek bersama bahan rampasan kemudiannya dibawa ke balai polis bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama bagi kesalahan penyalahgunaan bahan terlarang.
Polis menegaskan akan terus mempergiatkan operasi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.
TAMAT
