KOTA KINABALU,24 FEBRUARI – Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menyiapkan sembilan Pelan Induk serta Kajian Kebolehlaksanaan sebagai persediaan awal bagi memacu agenda pembangunan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata dokumen strategik berkenaan dirangka untuk meneruskan kesinambungan projek dan program pembangunan khususnya di kawasan yang masih ketinggalan. Antaranya termasuk Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah yang menggariskan empat projek pemangkin serta 27 cadangan projek sokongan.
Selain itu, Kajian Pelan Induk Lembah Makanan Pedalaman Sabah turut memberi tumpuan kepada lima daerah utama iaitu Keningau, Tambunan, Tenom, Tongod dan Nabawan melibatkan kawasan seluas kira-kira 2.3 juta hektar bagi memperkukuh sektor agromakanan negeri.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, sejak penubuhan SEDIA pada RMK9 hingga RMK12, agensi itu menerima peruntukan keseluruhan RM3.7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan. Sepanjang RMK12 sahaja, sebanyak RM646.3 juta diluluskan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan pusat dalam memperkasa pembangunan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Dalam sektor pertanian, pembangunan Pusat Penternakan Bersepadu Keningau bernilai RM64.1 juta mencatat pengeluaran purata 7,168 liter susu sehari atau 2.5 juta liter setahun, menyumbang hampir 30 peratus pengeluaran susu Sabah pada 2022 serta menyediakan 78 peluang pekerjaan setakat 2024.
Bagi sektor perindustrian dan logistik, projek Palm Oil Industrial Cluster Lahad Datu (POIC) bernilai RM932 juta berjaya menarik pelaburan berjumlah RM4.1 bilion dengan 42 syarikat beroperasi, sekali gus mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.
Dalam aspek infrastruktur, antara pencapaian utama ialah pembinaan laluan pejalan kaki dan berbasikal sejauh 16.1 kilometer dari Tanjung Aru ke Universiti Malaysia Sabah (UMS), selain jalan dua hala UiTM ke Pelabuhan Kontena Teluk Sepangar sepanjang tiga kilometer termasuk terowong 600 meter yang mengurangkan masa perjalanan serta merangsang pelaburan di kawasan perindustrian Kota Kinabalu.
Projek Jalan Tongod–Pinangah sepanjang 48.5 kilometer pula berjaya memendekkan tempoh perjalanan daripada empat jam kepada kira-kira satu jam, memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
SEDIA turut membangunkan Hab Pendidikan Sandakan bernilai RM100 juta yang menghimpunkan Fakulti Pertanian Lestari UMS, Politeknik Sandakan, MRSM Sandakan dan Kolej Vokasional Sandakan 2 sebagai kluster pembangunan modal insan.
Di bawah inisiatif Madani sepanjang RMK12, sebanyak 1,230 projek bernilai RM102.3 juta dilaksanakan meliputi pembasmian kemiskinan, inisiatif berteraskan rakyat serta program peningkatan pendapatan.
Hajiji menegaskan, rekod pelaksanaan sejak RMK9 membuktikan keupayaan SEDIA mempercepat pelaksanaan projek serta menilai impak pembangunan di negeri ini. Beliau turut menekankan kepentingan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah agar pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih seimbang dan inklusif.
TAMAT
