KOTA KINABALU – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, Sabah Electricity (SE) menyalurkan zakat wakalah berjumlah RM60,000 bagi membantu 250 penerima dalam kalangan pelajar dan golongan asnaf di sekitar ibu negeri.
Daripada keseluruhan penerima, seramai 100 pelajar membabitkan institusi Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF). Selebihnya, 150 penerima terdiri daripada golongan asnaf yang layak termasuk pelajar tahfiz serta komuniti setempat yang menerima bantuan melalui Ma’ahad Tahfiz Miftahul Ulum Tanjung Aru dan Masjid Sembulan.
Majlis penyampaian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin pada acara berbuka puasa ‘Majlis Seikhlas Budi Sesuci Ramadan’ yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, Isnin lalu.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun serta Pengerusi SE, Saadiah Aziz.
Menurut SE, penyaluran zakat wakalah itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus diberi perhatian, khususnya sepanjang bulan Ramadan. Inisiatif berkenaan diharap dapat meringankan beban penerima di samping memperkukuh hubungan antara agensi korporat dan komuniti setempat.
TAMAT
