sh@ syamilah salleh
SANDAKAN (21 JUN): Sebuah lori yang membawa muatan gas LPG terbakar selepas jatuh ke dalam gaung di sini pagi ini.
Lori 1.5 tan itu membawa 45 tong gas LPG terbakar keseluruhannya di mana kejadian berlaku di Jalan Damai berdekatan Taman Kim Jaiyen jam 11.09 pagi.

Bagaimanapun pemandu dan pembantunya mengalami kecederaan melecur.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan telah digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan.
Pasukan diketuai Komander Operasi PBK I Chauslim Sumsubil tiba di lokasi pada jam 11.16 pagi dan segera melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan air dan dua unit buih pemadam kebakaran, berpunca dari jentera dan tangki air bomba.
“Lori terbakar 100 peratus. Usaha pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 11.22 pagi, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.14 tengah hari selepas pemeriksaan keselamatan dibuat,” menurut kenyataan JBPM.
Mangsa terdiri daripada pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang melecur di bahu dan tangan, serta kelindannya, seorang lelaki warga Indonesia yang cedera di tangan kanan. Kedua-dua mereka telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas KKM bagi mengawal kawasan serta memastikan keselamatan orang awam.
Tamat
